Nama sebenarnya ialah Syeikh Abdul Malik Bin Syeikh Abdullah. Beliau adalah keturunan Syarif Muhammad Al Baghdadi iaitu seorang pendakwah Islam terawal di Terengganu yang berasal dari Baghdad. Syeikh Abdul Malik dianggarkan lahir sekitar tahun 1650 Masihi.

Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis merupakan seorang ulamak terkenal Terengganu dan juga tokoh penting yang memainkan peranan sebagai penasihat kepada Sultan Terengganu yang pertama, Sultan Zainal Abidin 1 (1708 – 1733). Semasa hayatnya beliau banyak menghabiskan masa dengan mengabdikan diri mempelajari dan menyebarkan ilmu.

Berdasarkan kepada cerita lisan, Syeikh Abdul Malik di katakan pada peringkat awalnya mendapat didikan agama daripada orang tuanya. Beliau kemudiannya telah pergi ke Acheh dan Jawa untuk mendalami ilmu agama sehingga mencapai umur 30an. Beliau dipercayai berada di bumi Indonesia ini kira-kira 10 tahun.

Setelah itu Tok Pulau Manis telah melanjutkan pengajiannya ke Mekah dan Madinah. Ketika di Mekah beliau mendalami ilmu Feqah Mahzab Shafie dengan Syeikh Ibrahim Al Kurani. Beliau juga belajar Ilmu Usuluddin aliran Asha’ri serta Ilmu Tasawuf terutamanya Tariqat Shadiliyyah, di Mekah dan Syathariyah di Acheh.

Setelah berada di tanah suci selama 12 tahun, Tok Pulau Manis pulang ke Terengganu. Beliau kemudiannya berkahwin dengan anak seorang pembesar negeri. Setelah besarnya, Tok Pulau Manis menetap di Kampung Pulau Manis dengan menjalankan aktiviti menyebarkan ilmu agama kepada penduduk setempat dengan menubuhkan institusi pengajian bermodelkan sistem di Masjidil Haram. Sistem ini juga dikenali sebagai ‘sistem pondok’ telah mendapat sambutan mengalakkan daripada masyarakat setempat termasuk Sultan dan pembesar negeri.

Sebagai pengasas sistem pondok, Tok Pulau Manis telah banyak menyalin dan mengarang kitab-kitab agama. Antara yang terkenal ialah Risalah Khabar Mi’raj, Hikam Melayu, Naql dan Kayfiqat al Niyyat Kifayah. Kitab-kitab ini digunakan semasa menyampaikan ilmu kepada penuntut-penuntutnya.

Tokoh ulamak terkenal ini meninggal dunia sekitar tahun 1735 ketika berusia 80 tahun dan dimakamkan di Kampung Pulau Manis kira-kira 18 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.


Mengikut Papan Tanda MAIDAM


Nama sebenar beliau ialah Syeikh Abdullah Bin Abdul Aziz. Berasal dari Hadramaut, beliau telah berpindah ke Pattani. Pada tahun 1785, beliau telah berpindah ke Terengganu dan menetap di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. Kemudian dari Kampung Pelam, beliau telah berpindah ke Kampung Ladang Titian sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1819. Jenazah beliau dimakamkan di dalam bangunan yang dibina untuk berkhalwat dan mengajar agama.


Mengikut Papan Tanda MAIDAM



Nama tubuh beliau ialah Syeikh Abdul Kadir Bin Abdul Rahman dan dikatakan mendapat pendidikan asas dibeberapa pondok pengajian di Pattani. Ketika tiba di Terengganu, beliau perkenalkan ajaran Islam Mahzab Shafi’e dan I’tiqad Ahlus Sunnah Waljamaah. Beliau berkemahiran dalam Ilmu Perundangan Islam, Ilmu Usuluddin, Tasawuf, Tafsir, Hadith dan Sejarah Islam. Beliau mempunyai ramai anak murid, antaranya ialah Tok Syeikh Duyung, Tokku Tuan Besar dan Baginda Umar (Sultan Terengganu ke 9). Beliau meninggal dunia dalam tahun 1864 di Kampung Bukit Bayas dan jenazahnya di makamkan di Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.


Mengikut Papan Tanda MAIDAM



Nama tubuh beliau ialah Wan Abdullah Bin Wan Mohd Amin. Beliau dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Pattani pada tahun 1802 Masihi dan mendapat pendidikan di dalam bidang Tasawuf, Hadith, Fiqh dan Usuluddin di Mekah dan Terengganu sendiri. Kemudian setelah tamat pengajian beliau telah mengajar di dalam bidang Fiqh, Hadith, Tafsir dan Tasawuf. Pada 24hb Februari 1889 beliau meninggal dunia dan di makamkan di Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.


Mengikut Papan Tanda MAIDAM